Langkau ke kandungan
Simply SirahSirah Bukan Sekadar Cerita

Renungan

Mike Tyson vs Nabi Muhammad ﷺ — Usia Hanyalah Angka

Pada usia 58 tahun — usia Mike Tyson ketika tewas — Nabi ﷺ sedang memimpin Khandaq, Quraizah dan siri ekspedisi yang berterusan hingga wafat.

Penulis
Addien Abdul Kadir
Diterbitkan
Bacaan
2 minit
Rujukan
1

Dunia gempar dengan pertarungan tinju antara legenda Mike Tyson, 58 tahun, dan Jake Paul, 27 tahun — jarak usia 31 tahun. Pertarungan berakhir dengan kekalahan sang legenda. Ramai yang berkata faktor usia menjadi pembeza: Tyson sudah terlalu tua.

Saya tidak berminat mengulas pertarungan itu; tonton pun tidak. Tetapi sebagai pencinta sirah, saya tertarik dengan ulasan “Tyson kalah sebab sudah tua.”

Usia memang memberi kesan kepada fizikal dan kekuatan. Cuma saya ajak kita melihat dari perspektif berbeza: tahukah apa yang Nabi Muhammad ﷺ lakukan pada usia 58 tahun? Duduk santai? Bersara? Tidak.

Pada usia sebaya Mike Tyson hari ini, Baginda sedang aktif berperang.

Pada usia 57 ke 58 tahun, Baginda terlibat dalam Perang Khandaq, kemudian terus ke Bani Quraizah. Selepas Ahzab inilah Baginda menyebut kata-kata bersejarah di hadapan sahabat:

الآن نغزوهم ولا يغزوننا، نحن نسير إليهم

“Sekarang kita yang akan menyerang mereka, bukan mereka yang menyerang kita. Kita yang akan bergerak kepada mereka.” 1Sahih al-Bukhari no. 4110

Memang selepas itu Nabi ﷺ bertukar daripada mod bertahan kepada mod menyerang. Habis Khandaq, terus Bani Quraizah — hampir sebulan baru selesai. Selepas itu Bani Lihyan di antara Amaj dan Usfan berhampiran Makkah, disusuli Dzu Qarad hanya beberapa hari selepas pulang dari Usfan. Kemudian jauh ke al-Muraisi’ melawan Bani al-Mustaliq, lalu memimpin 1,500 orang ke Umrah Hudaibiyah.

Tidak cukup dengan itu, Baginda menghantar beberapa misi ketenteraan — pasukan Ukkasyah bin Mihsan ke al-Ghamr, Abu Ubaidah ke Dzul Qassah, Zaid bin Harithah ke al-Jamum dan lain-lain. Ia berterusan hingga Khaibar, Wadi al-Qura, Mu’tah dan Fathu Makkah, sehinggalah Baginda hampir wafat. Benar-benar seorang pejuang.

Semua ini berlaku pada usia 58 hingga 63 tahun — usia ketika orang biasa berehat, makan pencen dan bersantai di rumah. Abu Bakar dan Uthman juga ketika itu berusia 50-an. Kita yang berusia 30–40 tahun pun sudah sakit badan dan kurang aktif.

Yang lebih menarik untuk dikaji: bagaimana pada usia 58–60-an Baginda dan sahabat masih mampu berperang dan melakukan perkara ekstrem? Kajilah dengan teliti; anda akan menemui banyak hal yang mengagumkan dan membuatkan kita malu sendiri.

Kita mungkin tidak mampu mengikut sepenuhnya, tetapi mereka telah membuktikan bahawa age really is just a number.

Itulah tujuan utama ilmu sirah: bukan sekadar tahu naratifnya, tetapi mentadabbur dan mengambil pelajaran untuk diamalkan, terutama di zaman yang semakin jauh daripada cara hidup generasi terbaik Islam.

Sallallahu ‘alaihi wasallam.

Rujukan

  1. Sahih al-Bukhari no. 4110

Nombor jilid dan halaman mengikut cetakan yang disenaraikan dalam kaedah rujukan. Nombor hadis Sahih al-Bukhari dan Muslim mengikut penomboran Fu'ad Abd al-Baqi / Fath al-Bari.

Bacaan berkaitan

Renungan

Hari Guru dan Sirah Nabi ﷺ

Mu'awiyah bin al-Hakam tersalah bercakap dalam solat. Cara Nabi ﷺ menegurnya membuatkan beliau berkata tidak pernah melihat guru sebaik Baginda.

Addien Abdul Kadir 1 rujukan