Maksud Nama Lu'ay dalam Perspektif Sirah
Lu'ay ialah leluhur Nabi ﷺ. Ulama bahasa dan sirah memberi tiga maksud bagi nama ini — kuat dan tangkas, tenang dan berhati-hati, atau panji kepimpinan.
Semalam saya terlihat berita pasangan artis selamat melahirkan anak sulung dan menamakannya Muhammad Luay Khayr bin Muhammad Akhyar. Tahniah buat ibu ayah ini.
بَارَكَ اللَّهُ لَكُمَا فِيهِ، وَجَعَلَهُ بَرًّا تَقِيًّا
“Semoga Allah memberkati kalian berdua dengan anak ini, dan menjadikannya anak yang berbakti lagi bertakwa.”
Namun pelbagai komen netizen yang tidak sedap dibaca muncul, menyindir nama tersebut. Sebagai pencinta sirah, saya terpanggil menjawab tentang nama Lu’ay.
Pertama: Lu’ay dari sudut sirah
Lu’ay ialah salah seorang leluhur Nabi Muhammad ﷺ — Lu’ay bin Ghalib, leluhur ke-9 Baginda (lihat carta nasab). Lu’ay hanya dua beradik; saudaranya bernama Taim bin Ghalib. Lu’ay ialah cucu Fihr, dan Fihr itulah yang dikenali sebagai Quraisy.
Lu’ay mempunyai ramai anak — sebahagian rekod menyebut 6–7 orang daripada perkahwinan dengan tiga wanita. Salah seorangnya Ka’ab; daripada keturunan Ka’ab bin Lu’ay inilah lahir keluarga Nabi Muhammad ﷺ. 1Ansab al-Asyraf 1/40 2Sirah Ibn Hisham 1/95
Jadi Lu’ay bukan nama asing dalam kalangan Arab Quraisy. Tetapi bagi orang Melayu yang tidak biasa dengan nama-nama dalam sirah, wajar jika terasa janggal.
Kedua: Lu’ay dari sudut makna
Lu’ay (لُؤَيّ) ialah bentuk pengecilan (tasghir) bagi kata dasar la’y (لَأْي). Ia boleh disebut Lu’ay atau Luway (لُوَيّ). Kata la’y mempunyai beberapa makna.
1. Lembu liar (al-thawr al-wahsyi)
Ini disebut oleh Imam Ibn al-Anbari berdasarkan syair jahiliah:
يعتاد أدحية بقين بقفرة … ميثاء يسكنها اللأي والفرقد
“Ia sering mendatangi sarang yang masih berbaki di tanah lengang, di dataran lembut yang dihuni lembu liar dan anaknya.”
Secara literal nampak pelik menamakan anak dengan nama binatang — tetapi bukan begitu. Orang Arab menggunakan nama haiwan sebagai pujian (al-madh) yang melambangkan kekuatan, keberanian, ketahanan, ketangkasan dan keindahan mata. Ia amalan meluas dan terpuji: Asad atau Laith (singa), Fahd (harimau bintang) dan sebagainya.
Apabila dijadikan bentuk tasghir, la’y membentuk nama baharu yang sedap didengar dan melambangkan kehalusan sifat. Maka Lu’ay merujuk kepada insan yang kuat, tangkas dan berani. 3Samt al-Nujum al-'Awali 1/200 4Lisan al-Arab 15/238
2. Penyabar, berhati-hati, tenang
Ini pandangan Imam al-Suhaili ketika membahaskan maksud nama-nama leluhur Nabi ﷺ. Menurut beliau, la’y secara literal menunjukkan kelambatan, dan orang Arab memakainya sebagai simbol kesabaran, kehati-hatian dan ketenangan. Al-Suhaili tidak bersetuju dengan makna lembu liar.
Buktinya, syair al-Hutai’ah menggunakan La’y sebagai nama asal (bukan tasghir) dalam konteks pujian:
أتت آل شماس بن لأي، وإنما … أتاهم بها الأحلام والحسب العد
“Telah datang kepada keluarga Syammas bin La’y; sesungguhnya ia datang kepada mereka hanyalah kerana kebijaksanaan akal dan keturunan mulia yang terbilang.”
Jadi Lu’ay juga bermaksud insan yang tenang, berhati-hati, sabar dan tidak terburu-buru. 5al-Rawd al-Unuf 1/54
3. Panji atau bendera perang
Disebut oleh Imam Ibn Duraid: Lu’ay boleh juga berasal daripada liwa’ (لِوَاء), panji perang yang dibawa tentera — simbol kepimpinan, maruah dan penyatuan. Ibn Khaldun menjelaskan dengan terperinci kepentingan panji perang pada zaman dahulu. 6al-Isytiqaq 1/24 7Tarikh Ibn Khaldun 1/319
Ada juga nama leluhur Nabi ﷺ lain yang mungkin kita rasa kurang elok; ulama ada membincangkannya. InsyaAllah dalam tulisan lain.
Kesimpulan
Nama Lu’ay boleh digunakan dan baik maksudnya — antaranya insan yang kuat, berani, tenang dan pemimpin.
Muhammad Luay Khayr: lelaki terpuji yang tenang perilakunya, kuat, dan sentiasa dalam kebaikan. Lebih kurang begitulah.
Wallahua’lam.
Rujukan
- Ansab al-Asyraf 1/40
- Sirah Ibn Hisham 1/95
- Samt al-Nujum al-'Awali 1/200
- Lisan al-Arab 15/238
- al-Rawd al-Unuf 1/54
- al-Isytiqaq 1/24
- Tarikh Ibn Khaldun 1/319
Nombor jilid dan halaman mengikut cetakan yang disenaraikan dalam kaedah rujukan. Nombor hadis Sahih al-Bukhari dan Muslim mengikut penomboran Fu'ad Abd al-Baqi / Fath al-Bari.